Memang tidak dinafikan lagi bahawa dunia hari ini sangat pantas dalam sebaran berita berbanding dalam tempoh sedekad lalu. Namun adakah kita tahu atau pun sedar yang mana sahih dan yang mana tidak serta bagaimana untuk menghindari penyebaran ‘fake news’ atau berita palsu?
Terlalu banyak kajian-kajian baru yang membantu kita dalam merungkai persoalan demi persoalan bilamana para sarjana media dan pakar mula membuka ruang bagaimana perbezaan jenis fakta boleh disalaherti sehingga diklasifikasikan sebagai palsu serta ‘lari’ daripada konteks sebenar. Berikut ini adalah tiga penemuan tekini yang terbukti boleh membantu dalam mengesahkan kebenaran fakta berita dan motivasi di sebalik penyebaran berita palsu.
1. Berita palsu bukan untuk berkongsi maklumat. Tetapi sekadar untuk menagih perhatian dan bertindak sebagai agen menyebar cerita semata-mata.
Manusia adalah spesis semulajadi yang kuat bercerita. Dengan penemuan lukisan-lukisan berunsur dramatik pada dinding-dinding gua pada zaman batu, maka dengan selamat bolehlah ditakrifkan bahawa naratif merupakan komponen penting dalam hidup kita semua sejak ribuan tahun lamanya.
Cerita boleh menjadi terlalu berkuasa sehingga ada yang mempersoalkan kecenderungan kita untuk memihak kepada persona cerita-cerita olahan daripada kejituan fakta sebenar sehingga menjadi mudah terdedah kepada kenyataan palsu dan taksub pada mitos.
Kepalsuan laporan berita bukan sahaja terhad kepada fakta yang telah dimanipulasi. Malah kita semua perlu lebih peka dan memberi lebih perhatian bagaimana cara ia disampaikan serta daripada siapa berita itu disebarkan.
2. Apabila berita palsu diulang, kita lebih cenderung untuk mempercayainya.
Salah satu daripada kritikan lazim tentang amalan menyemak berita menerusi sumber yang tidak rasmi secara terus adalah bagaimana ia sebenarnya menyemarakkan lagi minat untuk menyebarkannya kepada khalayak ramai. Ini sekaligus bakal memberikan impak yang negatif kepada masyarakat.
Berdasarkan satu kajian terbaru, ini merupakan satu fenomena yang begitu kompleks.
Daripada kajitinjau yang dilakukan terhadap 500 orang peserta, ia telah menemukan bahawa apabila berita palsu diulang siar dan terbit pada tahap serta tempoh sekian lama, masyarakat akan lebih cenderung untuk mempercayainya (walaupun masih tidak tahu daripada mana asal sumbernya).
Ini memberikan pandangan bahawa kita semua tidak semestinya mahu percaya akan penyebaran berita palsu tadi. Tetapi disebabkan oleh tekanan demi tekanan serta faktor psikologi membuatkan kita secara bawah sedar menerimanya secara rela.
3. Khabar angin adalah pendorong kuat kepada penyebaran berita palsu: Lantas terus merebak dan menjadi terlalu kuat untuk dinafikan!
Rentetan daripada sebab yang di atas (No.2), konten dan konteks berita palsu sebenarnya didorong oleh komponen-komponen khabar angin yang begitu agresif pergerakannya. Ia merebak dan membiak sehingga boleh menjadi “berita rasmi”.
Antara contoh yang paling mudah diberikan adalah laporan berita-berita hiburan, kisah peribadi artis dan pada musim pilihanraya.
Sama ada disusun secara strategik atau sengaja dibiarkan menular secara semulajadi, impaknya tetap negatif kepada masyarakat kita. Kemuncak kepada fenomena adalah berpunca daripada kita sendiri yang sentiasa mendambakan sesuatu yang sensasi.
Refleksi menerusi kempen taktikal oleh pengamal media baharu ini banyak dilakukan oleh profesioan dan juga aktivis amatur berdasarkan manipulasi maklumat. Walaupun belum muncul pengesahan rasmi untuk membenarkan berita, kita tetap pilih untuk ‘melayan’ sumber laporan yang sebegitu rupa.