1. Mudah dan Ringkas.. atau dalam ertikata lain: ‘Simple’
Seorang bijak pandai dalam dunia rekaan pernah berkata:
“I strive for two things in design: Simplicity and clarity. Great design is born of those two things.”
Jadi apabila anda semua memulakan rekaan logo, aspek mudah dan ringkas yakni simple itu tadi perlu berada di kemuncak benak otak anda. Ini termasuklah juga yang tidak melakukan rekacipta itu tadi iaitu yang menilai atau menganalisa dari luar. Memang mudah untu terbuai dengan perasaan “syok sendiri” dan cuba menerapkan seberapa banyak elemen dalam satu logo.
Tetapi simple tetap adalah yang terbaik.
Simple and simplicity.
Bukan SimpliSiti. Itu produk kosmetik Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
Menyantak elemen-elemen yang kompleks pada logo sesuka hati tidak mencerminkan profesionalisme dan keyakinan diri.
Sebuah logo yang simple tetapi berfungsi dapat berkomunikasi dengan mantap kepada sasarannya, sekaligus membahagiakan rakyat dan kekal lebih diingati.
2. Relevan
Sebuah logo yang hebat lebih daripada sekadar rekaan yang cantik. Ia sewajarnya perlu berdiri dengan motif dan matlamat sekaligus menghantar mesej jelas tentang sebarang promosi, publisiti, penjenamaan atau perkhidmatan yang sedang ditawarkan. Inilah baru boleh dilabel sebagai sebuah logo yang bernilai.
Sebuah logo yang relevan adalah berguna dan berfungsi untuk semua tujuan serta fungsi di atas. Sentiasa ingat tentang apa yang dimahukan pelanggan atau sasaran pasaran dan cipta sebuah logo yang sampai tepat ke lubuk perhatian mereka. Contoh paling mudah adalah seleksi warna pada logo. Anda mempunyai pilihan spektrum warna yang banyak tetapi fahami KENAPA satu-satu warna itu perlu dipilih dan terpilih berbanding memilih kerana ia adalah warna-warna kegemaran anda.
Apa yang menarik pada pandangan anda tidak semestinya menarik pada pandangan sasaran pasaran dan pelanggan. Warna membawa dan mewakili spektrum emosi. Fikirkan tentang jenama, produk, kempen dan perkhidmatan yang diwakili logo kerana semua ini adalah mustahak.
3. Versatiliti (Baca: Serba Guna dan Serba Boleh)
Dalam jangka hayat sebuah logo, ianya akan digunakan untuk pelbagai cara dan variasi. Sudah semestinya logo dicipta akan menjadi wakil teraju kepada laman web, brosur, kad nama, seragam dan macam-macam lagi. Selalu tancapkan di dalam minda bahawa platform atau aplikasi yang berbeza tidak selalunya akan menzahirkan senario ideal untuk logo anda menonjol.
Logo perlu direka untuk skala sangat besar (baca: billboard) atau sangat kecil (baca: logo pada cendermata seperti pen) tetapi masih mengekalkan integritinya. Saiz dan warna latar belakang akan berubah mengikut kehendak semasa tetapi versatiliti logo harus wujud untuk semua situasi.
4. Unik
Membuat penyelidikan atau research dalam menjana inspirasi adalah satu idea baik.
Cuma berhati-hati apabila merekacipta logo yang terlalu biasa dan lebih kurang sama dengan apa yang sudah ada di luar sana. Logo anda perlulah unik. Ia patut berbeza dan berlainan dari hampir semua aspek dan elemen rekaan, ketara diketahui ramai adalah rekaan anda serta tidak mudah dibanding-bandingkan dengan jenama logo lain di pasaran.
5. Dikenang Sepanjang Zaman!
Dengan berpegang pada kesemua prinsip yang di atas, ia adalah langkah awal untuk menjadikan logo anda sebuah logo yang akan dikenang untuk sepanjang zaman.
Pasaran sasaran dan pelanggan anda boleh mengingati elemen-elemen spesifik logo itu tadi selepas melihatnya walaupun sejenak. Bergantung kepada platform atau saluran, khalayak hanya boleh melihat logo anda untuk satu tempoh masa tertentu sahaja.
Persoalannya: Adakah ia berkadaran dan cukup untuk menyampaikan mesej jenama logo anda kepada dunia?
Sekiranya logo anda terlalu kompleks, ia akan begitu mudah dilupakan.
Merekacipta logo adalah satu kembara yang luarbiasa. Ada klien yang jenis terus jatuh cinta pandang pertama. Ada yang jenis sampai mati pun tidak puas hati. Ada yang jenis tidak tahu pun tentang prinsip rekaan logo dan ciptaan konsep jenama tetapi acah-acah tahu itu dan ini. Apa yang penting di sini adalah sentiasa terbuka pada idea-idea terkini serta tahu apakah mesej yang ingin disampaikan menerusi ciptaan logo itu tadi.
Logik dan rasional.
Sudah hafal dan ingat semua tips berguna di atas?
Kalau sudah.. bagus.
Go ahead and change the world!