1.Simpan Fail Selain dalam Drive C
Untuk makluman, Drive C merupakan lokasi utama penyimpanan fail sistem operasi Windows. Menyimpan terlalu banyak fail di Drive C boleh menyebabkan ruang storan semakin penuh, yang akhirnya memperlahankan prestasi komputer. Lebih membimbangkan, jika ruang storan hampir penuh, sistem mungkin menjadi kurang responsif dan mengambil masa lebih lama untuk beroperasi.
Selain itu, kebanyakan proses baik pulih atau pemasangan semula sistem operasi akan menghapuskan semua data di Drive C. Sekiranya komputer mengalami kerosakan secara tiba-tiba tanpa sempat membuat backup, segala fail penting yang disimpan dalam Drive C berisiko hilang. Oleh itu, adalah disarankan untuk menyimpan fail peribadi di lokasi lain seperti pemacu luaran atau storan awan bagi memastikan data anda selamat.
2.Install Software Cleaner
Windows sebenarnya mempunyai perisian utiliti tersendiri seperti Cleaner dan Defragment. Namun, sebaiknya kita memasang perisian tambahan seperti Cleaner untuk meningkatkan keberkesanan pembersihan fail dalam komputer.
Untuk makluman, fail atau data yang tidak terpakai akan terkumpul semasa kita melayari internet atau menyahpasang perisian. Fail yang tertinggal ini boleh memenuhi ruang storan dan memperlahankan komputer. Dengan adanya perisian Cleaner, semua fail sampah dapat dikesan dan dibersihkan secara automatik, menjadikan komputer lebih ringan dan lancar.
Selain itu, kebanyakan perisian Cleaner juga dilengkapi dengan fungsi tambahan seperti menyusun fail, membaiki log sistem, serta memudahkan proses pemasangan dan penyahpasangan perisian. Oleh itu, penggunaan perisian Cleaner secara berkala dapat membantu mengekalkan prestasi komputer pada tahap terbaik.
3.Selalu Susun Fail (Defragmenting)
Setiap sistem komputer mengandungi pelbagai jenis fail, termasuk fail kerja dan fail sistem yang diperlukan untuk menjalankan operasi komputer. Fail sistem ini kebiasaannya disimpan di Drive C.
Penggunaan komputer yang kerap dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan lokasi fail berubah, sekali gus melambatkan proses pencarian fail semasa arahan dikeluarkan. Keadaan ini boleh diibaratkan seperti sebuah perpustakaan jika buku disusun dengan baik mengikut abjad dan kategori, ia lebih mudah dan cepat untuk dicari. Sebaliknya, jika buku diletakkan secara berselerak, kita akan mengambil masa lebih lama untuk mencarinya.
Begitu juga dengan komputer. Oleh itu, proses Defragment diperlukan untuk menyusun semula fail-fail sistem ke lokasi yang sepatutnya. Dengan cara ini, komputer dapat beroperasi dengan lebih pantas dan lancar.
4.Sentiasa Update Antivirus
Memang tidak dapat dinafikan, kadangkala komputer menjadi lambat kerana terdapat program lain yang memberatkan sistem. Selain itu, virus atau perisian hasad juga boleh berjalan secara automatik tanpa kebenaran pengguna.
Apabila program tidak dikenali aktif tanpa disedari, ia boleh menggunakan sumber komputer secara berlebihan, menyebabkan prestasi menjadi perlahan. Oleh itu, pastikan hanya program yang diperlukan berjalan di latar belakang, dan gunakan perisian antivirus untuk mengesan serta menghapuskan sebarang ancaman yang boleh menjejaskan kelancaran komputer anda.
5.Jangan Letak Fail Di Desktop
Sebenarnya, cara ini tidaklah memberi kesan yang terlalu serius. Namun, ia tetap menjadi salah satu punca komputer menjadi lambat semasa proses permulaan.
Semasa komputer dihidupkan, semua fail dan ikon yang ada di desktop perlu dimuatkan sebelum paparan utama boleh digunakan sepenuhnya. Jika terlalu banyak fail atau pintasan (shortcut) diletakkan di desktop, proses ini akan mengambil masa yang lebih lama.
Oleh itu, sebaiknya simpan fail dalam folder yang teratur dan kurangkan ikon di desktop untuk mempercepatkan proses permulaan komputer serta memastikan prestasi yang lebih lancar.